in

Kisah Hamba Abdi Muslim yang Diangkat Menjadi Bangsawan – Ayuba Suleiman Diallo

Kisah Hamba Abdi Muslim yang Diangkat Menjadi Bangsawan - Ayuba Suleiman Diallo


Akhir-akhir ini, dunia Barat melihat kebangkitan Islam terutamanya di Amerika Syarikat, Britain dan Eropah. Pendatang Muslim juga dilihat semakin banyak membanjiri negara-negara Barat ini di mana majoriti penduduknya adalah beragama Kristian.

Akan tetapi, ia bukanlah sesuatu perkara yang baru. Pendatang Muslim telah lama tiba di tanah Amerika sebelum ianya diisytihar secara rasmi sebagai sebuah negara lagi. Melalui perdagangan hamba Atlantik, ramai orang Afrika beragama Islam telah dibawa ke Amerika tetapi jarang kita dengar tentang kisah mereka.

Dalam kebanyakan buku sejarah, penghambaan adalah perkara buruk yang pernah berlaku terhadap kemanusiaan tetapi ia tidak dilihat begitu dan sering diabaikan pada tahun 1700-an. Hamba-hamba ini sepatutnya mendapat pujian kerana mereka adalah antara orang penting yang membina Amerika Syarikat menjadi sebuah negara maju pada hari ini.

Ayuba Suleiman Diallo

pemerdagangan hamba atlantik

Peta pemerdagangan hamba Atlantik

Salah satu daripada hamba itu adalah Ayuba Suleiman Diallo atau dikenali sebagai Job ben Solomon. Dia berasal dari timur Senegal dan dilahirkan pada 1701 dalam sebuah keluarga yang kuat agama. Dia memiliki kecerdasan dan daya ingatan yang baik. Pada usia 15 tahun, Ayuba telah menghafal seluruh al-Quran. Selain itu, dia juga adalah seorang yang pakar dalam feqah mazhab Maliki.

Di sebalik pencapaian dan statusnya itu, dia juga senasib dengan kebanyakan orang lain di Afrika. Senegal adalah salah satu negara yang terjejas teruk akibat pemerdagangan hamba. Ayuba ditangkap ketika dia berusia 30 tahun. Janggutnya dicukur dan dia telah dijual untuk bekerja di ladang tembakau selepas kapal yang membawanya mendarat di Annapolis, Maryland, Amerika pada tahun 1731.

solat 153

Walaupun menghadapi masa yang sukar kerana diseksa dan dikerahkan bekerja sebagai buruh kasar, Ayuba tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim. Dia akan lari ke hutan berdekatan untuk solat lima waktu secara diam-diam.

Pada suatu hari, salah seorang anak majikannya melihat Ayuba sedang menunaikan solat dalam hutan. Kanak-kanak itu membaling kotoran dan mengejeknya. Sedih dengan kejadian itu, Ayuba tekad untuk melarikan diri dari ladang tempatnya bekerja.

james edward oglethorpe

James Edward Oglethorpe

Malangnya, Ayuba berjaya ditangkap dan kali ini dia dipenjarakan. Pada ketika inilah dia bertemu dengan seorang peguam Inggeris bernama Thomas Bluett. Peguam itu begitu kagum melihat Ayuba yang begitu taat pada agama, bijak dan celik huruf. 

Bluett akhirnya menjadi rakan Ayuba. Peguam itu juga pernah menulis tentang Ayuba dalam beberapa memoirnya. Ketika berada dalam penjara, Ayuba telah menulis sepucuk surat dalam bahasa Arab untuk dihantar kepada bapanya. Akan tetapi, suratnya itu sampai di tangan James Edward Oglethorpe, pengasas koloni Georgia.

surat ayuba suleiman diallo

Sebahagian surat Ayuba kepada bapanya

Oglethorpe kemudian membawa surat itu ke Oxford untuk diterjemahkan. Sama seperti Bluett, Oglethorpe juga begitu kagum dengan Ayuba. Dia tersentuh oleh perjuangan yang ditulis dalam surat itu. Oglethorpe kemudian menghantar sejumlah wang ke Amerika untuk membebaskan Ayuba dan membawanya ke England pada tahun 1733.

Semasa pelayaran ke England bersama Bluett, Ayuba tetap melaksanakan ibadatnya. Dia juga menyembelih haiwan mengikut syariat Islam untuk dimakan dagingnya. Dalam masa enam minggu pelayaran itu, dia gigih mempelajari bahasa Inggeris walaupun tidak begitu sihat.

Hamba abdi menjadi bangsawan

Setibanya di England, dia disambut sebagai seorang manusia yang merdeka. Ayuba mula berkawan dengan golongan elit dan sering membahaskan teologi agama dengan paderi dan biskop Kristian. Bukan sahaja golongan agama dan bangsawan, malah Raja dan Ratu England ketika itu juga kagum dengan kecerdasan, tauhid dan akhlak Ayuba.

Ayuba kemudian dimasukkan ke dalam Spalding Gentlemen’s Society, sebuah kelab yang meraikan ahli akademik dan intelektual. Dia yang pada mulanya dipisahkan daripada keluarga, dijual sebagai hamba, dipaksa bekerja, diseksa, dipermalukan dan dipenjara akhirnya diangkat sebagai seorang yang mempunyai hak sama rata.

lukisan hamba 757

Ketika inilah potret Ayuba Suleiman Diallo dilukis oleh William Hoare. Apa yang unik mengenai lukisan ini ialah ia kelihatan seperti sebuah lukisan seorang raja atau bangsawan.

lukisan hamba 2 519

Ketika prejudis perkauman sangat kuat pada masa itu, kebanyakan lukisan orang kulit hitam dan hamba sering menggambarkan mereka sebagai sesuatu yang buruk, jelik, jahat dan menakutkan. Potret Ayuba merupakan lukisan pertama lelaki Muslim Afrika yang menonjolkan kesamarataan, kehormatan dan keanggunan.

Ayuba bersetuju potretnya dilukis jika dia dibenarkan mengenakan pakaian tradisionalnya. Buku merah kecil yang digantungkan pada lehernya itu adalah salah satu daripada tiga salinan al-Quran yang ditulisnya sendiri di England berdasarkan hafalannya.

Pada tahun 1734, Ayuba telah selamat kembali ke tanah airnya. Bapanya ketika itu telah meninggal dunia dan rumahnya telah rosak akibat perang. Pada Jun 1736, dia sekali lagi ditangkap oleh penjajah Perancis. Dia menjadi sasaran kerana hubungan baiknya dengan pihak British.

Dia dikatakan ditahan selama setahun sebelum dibebaskan oleh rakyatnya sendiri. Dia sekali lagi berjaya menghadapi kesukaran, menaikkan dirinya sendiri dan menjalani kehidupan yang makmur.

potret ayuba 288

Ayuba meninggal dunia pada tahun 1773 dan kematiannya dicatatkan di Spalding Gentlemen’s Society. Kini, potret terkenal Ayuba dipamerkan untuk tontonan umum di National Portrait Gallery, London.

Rujukan:

1. Why Islam

2. Black Past

3. LDHI



Source link

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Kenapa Jepun Menggunakan Lampu Biru Pada Lampu Isyarat?

Kenapa Jepun Menggunakan Lampu Biru Pada Lampu Isyarat?

Kerap Buang Air Kecil & 9 Lagi Tanda Anda Mungkin Ada Penyakit Buah Pinggang

Kerap Buang Air Kecil & 9 Lagi Tanda Anda Mungkin Ada Penyakit Buah Pinggang