in

Nor ‘Phoenix’ Diana pencetus wanita berhijab terlibat gusti

Nor
KUALA LUMPUR: Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

Begitulah perumpamaan untuk menggambarkan kejayaan seorang gadis mempunyai berat 43 kilogram dan ketinggian 155 sentimeter yang mula mencipta fenomena apabila menjadi wanita Muslim Malaysia pertama menyertai acara gusti profesional.

Kejayaan Nor ‘Phoenix’ Diana memenangi tali pinggang pada pertandingan Pro Wrestling-The Wrestleconi di Taman Tun Dr Ismail, di sini, baru-baru ini, dengan menumbangkan empat ahli gusti lelaki negara, jelas menarik perhatian rakyat negara ini yang melontarkan pelbagai reaksi di laman sosial.

Bernama berkesempatan menemu bual gadis kelahiran Keramat, Kuala Lumpur itu, yang mendedahkan minat dalam sukan gusti wujud selepas beliau menonton rancangan gusti terkemuka Amerika Syarikat, WWE bersama adik-beradiknya pada usia 14 tahun.

Nor Diana atau nama sebenar, Syaradeeba Khamarulzaman menjelaskan minat mendalam terhadap sukan gusti mendorong beliau mencuba nasib dengan menyertai uji bakat pencarian atlet gusti pada usia 16 tahun sehingga diberi peluang jurulatihnya, Ayez Shaukat Fonseka menyertai pertarungan gusti pada Februari 2017.

Sokongan ibu bapa, jelas gadis berusia 19 tahun itu, turut menjadi pendorong untuk beliau mencuba nasib dalam sukan gusti walaupun mereka agak risau dengan keselamatannya pada peringkat permulaan beliau berkecimpung dalam sukan tersebut yang disifatkan segelintir pihak sebagai ‘ganas’.

Mengimbau kembali perjalanan kariernya, anak keempat daripada lima beradik itu mendedahkan, beliau menyertai perlawanan gusti pertama pada Februari 2017 menentang seorang lagi penggusti tempatan, Scarlett Lee, namun tewas sebelum kembali bangkit mencipta kejayaan dengan memenangi tali pinggang Pro Wrestling-The Wrestleconi, awal Julai lepas.

Nor Diana berkata sehingga kini beliau sudah menyertai 15 perlawanan di dalam dan luar negara, namun mengakui bukan kemenangan dicari, tetapi lebih kepada mempopularkan sukan itu yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan wanita berhijab di negara ini kerana menganggap sukan gusti bersifat ganas.

“Bagi saya, gusti ini lebih kepada seni persembahan aksi lagak ngeri dipersembahkan secara langsung kepada penonton yang hadir menyaksikan perlawanan gusti berkenaan,” jelas gadis berkaca mata itu yang terkenal dengan beberapa gerakan penyudah seperti ‘Tilt-a-Whirl Cutter’, ‘Crossbody’ dan ‘Suicide Dive’.

BACA: Hijab bukan alasan kenapa Diana tidak boleh bergusti

Susulan kejayaannya tular di laman sosial baru-baru ini, Nor Diana mendedahkan beliau menerima beberapa tawaran menyertai pertandingan gusti di luar negara terutama di Eropah, namun hanya memberi fokus di sekitar Singapura dan Filipina memandangkan beliau mempunyai komitmen kerja sebagai pembantu klinik di sebuah hospital di Lembah Klang ketika ini.

“Saya tidak menyangka kejayaan saya menjadi tular di luar negara, dan saya akan berbincang dengan ibu bapa saya terlebih dahulu, dan juga jurulatih sebelum membuat keputusan muktamad kerana untuk terbang jauh pada usia 19 tahun memang agak menakutkan,” jelas Nor Diana yang mendedahkan beliau turut menerima sokongan padu daripada masyarakat luar untuk berkecimpung dalam sukan gusti.

Ditanya mengenai gelaran ‘Phoenix’, Nor Diana berkata beliau mengambil inspirasi daripada burung Phoenix yang digambarkan dalam masyarakat moden sebagai satu kebangkitan selepas kegagalan dan mampu menempuhi pelbagai dugaan mendatang.

“Saya sama seperti gadis lain juga bersifat pemalu, tetapi apabila saya beraksi di gelanggang gusti dan mendengar alunan muzik, saya terus garang seumpama burung ‘Phoenix’ dan terus memberi aksi terbaik tanpa mengira saiz badan lawan saya.

“Pada mulanya, saya agak takut berdepan lawan mempunyai saiz lebih besar daripada saya terutamanya penggusti luar negara, tetapi apabila mendapat inspirasi daripada jurulatih dan aura ‘phoenix’, saya akan menentang lawan saya sehabis baik walaupun kadangkala saya terpaksa menempuh kesakitan akibat serangan balas lawan,” jelasnya.

Dari segi pemilihan kostum, Nor Diana mendedahkan ia direka dengan mengambil kira corak burung ‘Phoenix’ selain keselesaan ketika beraksi dalam gelanggang.

“Kebiasaannya, saya akan mencadangkan jenis seluar yang sesuai dipakai, manakala jurulatih saya akan mereka bentuk baju dan juga topeng muka yang saya akan gunakan,” katanya.

Sukan gusti, jelas Nor Diana, merupakan sukan menerapkan latihan berintensiti tinggi dan beliau sendiri perlu menjalani latihan fizikal agak mencabar selama dua kali seminggu, antara empat dan enam jam di Malaysia Pro Wrestling Developmental Centre di Spacerubix Sentral, Puchong, di bawah seliaan Shaukat.

Dua jam pertama latihan, jelas Nor Diana, adalah bentuk latihan ketahanan fizikal, dua jam dalam bentuk ‘conditioning’, manakala dua jam dari segi mempertingkatkan teknik gusti yang tepat, selain aspek keselamatan sewaktu menyertai perlawanan gusti.

Nor Diana yang mempunyai keupayaan luar biasa dengan membuat latih tubi sebanyak 60 kali, mendedahkan tiada istilah perbezaan jantina sewaktu latihan intensif dijalankan kerana beliau akan digandingkan dengan penggusti lelaki bagi memastikan beliau berada pada tahap terbaik sebelum menyertai sesuatu pertarungan.

Beliau mengakui ramai golongan lelaki dan wanita pernah mencuba nasib menjadi penggusti, namun berhenti di pertengahan jalan kerana tidak sanggup berdepan dengan latihan fizikal yang padat dan mencabar sebelum diberikan peluang untuk beraksi dalam mana-mana perlawanan gusti.

Kecederaan, jelas Nor Diana, tidak pernah lari dalam mana-mana diari seorang atlet dan beliau sendiri mendedahkan pernah mengalami kecederaan siku yang serius sehingga mengambil masa lama untuk kembali pulih.

Nor Diana masih mengharapkan golongan berhijab di negara ini dapat menerima sukan gusti serta sukan lasak lain sebagai salah satu aktiviti sihat, namun mengakui perkara berkenaan sukar dilaksanakan memandangkan persepsi negatif yang masih menyelubungi mereka mengenai sukan gusti.

“Mereka kena ada minat serta impian dan jangan putus asa sebab perjalanan untuk berjaya dalam sesuatu bidang mengambil tempoh lama, dan dalam perjalanan itu mungkin ada beberapa cabaran mereka perlu tempuhi. Paling penting, mental kita kena kuat terutama apabila menyertai sesuatu bidang mencabar.

“Saya juga mahu orang luar tahu kewujudan gusti profesional di Malaysia, bantu kembangkan sukan gusti serta terus cipta nama di negara ini,” katanya.

Gadis bertubuh kecil itu turut mengimpikan peluang untuk beraksi dalam saingan gusti di luar negara seperti Jepun, Kanada dan saingan WWE di Amerika Syarikat pada masa akan datang.

“Untuk menjadi jurulatih gusti pada masa akan datang, saya boleh pertimbangkan kerana saya sendiri turut membantu beberapa gadis di luar sana yang berminat menyertai sukan gusti, namun malu untuk menyatakan hasrat mereka kepada ibu bapa masing-masing,” jelasnya.

— BERNAMA

Source link

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Rekod 24 tahun pecah, Mariah Carey ucap tahniah kepada Lil Nas X

Rekod 24 tahun pecah, Mariah Carey ucap tahniah kepada Lil Nas X

Elak Makanan Ganggu Usus & 9 Lagi Cara Kurangkan Derita Ekzema, No 2 Paling Penting!

Elak Makanan Ganggu Usus & 9 Lagi Cara Kurangkan Derita Ekzema, No 2 Paling Penting!